Kebakaran kedai mercun: Dua beranak dikesan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JEMPOL – Polis sedang mengesan dua beranak dipercayai pencetus awal kebakaran yang melibatkan gerai jual mercun dan bunga api di Bahau pada 14 Jun lalu.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, dua beranak tersebut diminta tampil untuk membantu melengkapkan siasatan.


“Hasil siasatan mendapati kebakaran tercetus daripada letupan bunga api jenis happy boom telur naga yang terkena di atas mercun jenis bateri. dan disebabkan kejadian itu dua lelaki Melayu dipercayai pemilik gerai tersebut ditahan untuk bantu siasatan.


“Menurut saksi di lokasi kejadian, terdapat tiga orang cedera ringan tetapi tiada sebarang laporan polis diterima. Namun kita ada terima lima laporan berkenaan kenderaan rosak dan satu laporan daripada CIMB Bank selepas kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Menurutnya, pihaknya juga merampas kotak berisi mercun pop pop dalam sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan peniaga terbabit.


“Peniaga mercun itu mendapat kebenaran polis untuk berniaga, namun tiada permit perniagaan dikeluarkan oleh Majlis Daerah Jempol di tapak perniagaan tersebut.


“Pihak CIMB Bank juga tidak pernah keluarkan sebarang kebenaran berniaga di kawasan berkenaan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]