Kelantan tak akan putus asa

in Sukan by


MISI Kelantan untuk kekal di Liga Super tampak semakin sukar namun pasukan itu tidak akan berputus asa untuk keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.


Pemangku ketua jurulatih, Yusri Che Lah menegaskan dia enggan mengibarkan bendera putih lebih awal sebaliknya akan terus berusaha mencari keputusan positif dalam menghadapi enam perlawanan selepas ini. 


“Walau apa pun terjadi saya rasa kita kena terus beri sokongan kepada pasukan ini. Tak perlu fikir apa yang berlaku sebelum ini kerana jika berterusan berfikiran demikian kita tak dapat lihat apa yang akan berlaku pada masa depan.


“Jadi, saya harap pemain kekal fokus dan memainkan peranan sebaik mungkin dalam baki perlawanan untuk menyelamatkan pasukan kekal di Liga Super,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan menentang PKNS FC, malam tadi.


Pada aksi di Kota Bharu itu, tuan rumah sekali lagi gagal keluar daripada belenggu kekalahan apabila tunduk 0-2 kepada PKNS FC menerusi dua gol sumbangan pemain import Brazil, Bruno de Matos, seawal minit keempat dan 86.


Ia merupakan kekalahan ke-11 dicatatkan skuad pantai timur itu selepas mengharungi 16 perlawanan sekali gus kekal di tangga tercorot liga apabila sekadar mengutip 11 mata. 


Sementara itu, mengulas kekalahan tersebut, pengendali kelahiran Perlis itu berkata, ketumpulan sentuhan penyudah terakhir menyebabkan pasukannya tewas buat kali ketiga kepada PKNS FC sepanjang musim ini.


“Saya tidak dapat lari daripada mengatakan bahawa kita gagal menjaringkan gol walaupun menguasai sebahagian besar permainan dan saya bertanggungjawab penuh di atas kekalahan ini.


“Kita menguasai bahagian tengah dan pertahanan namun gagal bertindak ketika menyerang. Hantaran terakhir untuk menjaringkan gol adalah satu kelemahan besar dan saya kena akui kita kena bekerja lebih keras untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik, pada perlawanan akan datang,” katanya.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]