Kemalangan maut tertinggi di Baling

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Baling mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi berbanding daerah lain pada hari ke 13 Ops Selamat 13/2018 di Kedah.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah Deputi Superintendan (DSP) Hussin Zamora berkata, berdasarkan rekod sejumlah 1,059 kes kemalangan direkodkan berlaku sepanjang tempoh itu.


Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22 kemalangan maut direkodkan membabitkan 28 kematian di Kedah sepanjang Ops Selamat bermula 8 Jun yang dijangka tamat pada 22 Jun nanti.


“Sebanyak lima kes dari 22 kes kemalangan maut di Kedah yang direkodkan berlaku di Baling, diikuti daerah Kuala Muda dengan empat kes, Kota Setar dan daerah-daerah lain.


“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik, malah memastikan keadaan diri sihat sebelum memulakan pemanduan terutamanya melibatkan perjalanan jauh,” katanya.


Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas Ops Bersepadu JSPT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Jalan Sultanah Bahiyah dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, di sini, siang tadi.


Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa memandu memandangkan kenderaan di kawasan tertentu dijangka meningkat menjelang berakhir cuti sekolah minggu ini.


Hussin berkata, pemandu diminta berhenti dan berehat di kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) jikalau berasa mengantuk ataupun keletihan.


Ops Bersepadu yang bermula jam 2.30 petang itu   melibatkan 12 pegawai dan anggota polis bersama empat anggota JPJ Kedah.     Hussin berkata, dalam tempoh dua jam, pihaknya mengeluarkan sebanyak 30 saman melibatkan pelbagai kesalahan terutamanya lesen kenderaan tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai kenderaan.


Sehingga kini, katanya, pihak polis telah melakukan 451 operasi di merata-rata tempat demi mencegah kemalangan semenjak 8 Jun lepas dalam Ops Selamat 13/2018 terbabit.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]