Khairy cadang dua jawatan baharu naib presiden Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan tambahan dua jawatan naib presiden bagi mewakili wanita dan Sabah sekiranya dipilih sebagai presiden pada pemilihan parti 30 Jun ini.


Ahli Parlimen Rembau itu berkata, cadangan itu penting bagi menyuburkan amalan demokrasi di dalam parti berusia 72 tahun itu.


“Hari ini seperti ada ‘glass ceiling’ untuk wanita… akan ada Ketua  Wanita (jawatan setaraf naib presiden) yang akan menjaga sayap, tetapi seorang lagi boleh bertanding sampai peringkat naib presiden,” katanya di ibu pejabat Umno hari ini.


Beliau berkata, keperluan mewujudkan jawatan itu bertujuan mengiktiraf wanita sebagai pemimpin yang boleh berperanan di peringkat nasional selain membantu mencapai 30 peratus penglibatan golongan itu dalam kepimpinan utama parti.


Bagi jawatan  naib presiden untuk Sabah, Khairy berkata ia bertujuan menjaga kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu, selain menghormati asas penubuhan Malaysia.


Pada masa ini terdapat tiga jawatan naib presiden dalam struktur organisasi Umno. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]