Malaysia perlu teruskan usaha damai Selatan Thai

in Edisi by


KUANTAN – Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) perlu meneruskan peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan damai di Wilayah Selatan Thai antara Kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (Mara).


Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, walaupun berlaku kepimpinan kerajaan bertukar selepas PRU14 lalu, Malaysia tidak wajar menghentikan peranan itu.


Menurutnya, sebaliknya Malaysia perlu terus bersikap proaktif untuk mengembalikan keamanan serta kestabilan sosio-politik di wilayah bergolak berkenaan khususnya dan rantau Asean umumnya.


“Jika disorot peranan dimainkan Malaysia pada 2006, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri bertindak sebagai fasilitator dalam Rundingan Damai Langkawi antara Kerajaan Thailand dan koalisi Bersatu.


“Satu pelan damai juga telah dirangka dan beberapa mesyuarat susulan telah dijalankan selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Nasrudin berkata, malah  usaha Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai tetap diteruskan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan keenam.


Katanya, komitmen itu juga merupakan satu simbolik pro keamanan dan kecaknaan negara terhadap nasib umat Islam sedunia.


“Pas sentiasa konsisten menunjukkan sokongan terhadap usaha kerajaan sebagai fasilitator dalam mana-mana rundingan damai yang telah dan akan dijalankan di rantau ini.


“Contohnya, Pas mengalu-alukan kejayaan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di Mindanao pada tahun 2012 malah turut menggesa kerajaan agar berusaha merealisasikan pelan damai di Wilayah Selatan Thai dan mesti menjadikan urusan ini sebagai agenda penting nasional,” katanya.


Beliau berkata, perkara itu  termasuk juga merangka usaha-usaha pembelaan terhadap nasib umat Islam Rohingya, Myanmar.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]