Pasukan petugas khas ditubuh kaji isu monopoli 4 kementerian

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas khas diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali bagi mengkaji isu monopoli di empat kementerian.


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat kementerian terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


“Satu kajian akan dibuat secara menyeluruh tentang isu monopoli sesetengah penyedia perkhidmatan di negara ini bagi mencari pendekatan terbaik dan mengelak penambahan kos kepada kaedah perolehan.


“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ingin isu ini diselesaikan secepat mungkin kerana perkara tersebut selalu berbangkit,” katanya di sini, hari ini.


Menyentuh mengenai kaedah perolehan perubatan, Dr Dzulkefly berkata, terdapat tiga kaedah iaitu melalui tender terbuka, rundingan terus dan kaedah perjanjian konsesi.


“Namun melalui kaedah perjanjian konsesi, ia sukar kerana terdapat pelbagai perkara yang tidak telus,” katanya yang turut mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa untuk menyiasat isu monopoli di kementeriannya.


Sebelum ini, kementerian itu turut menafikan dakwaan bahawa Pharmaniaga memonopoli bekalan ubat-ubatan ke kemudahan kesihatan awam.


Dalam pada itu, katanya kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan yang akan dianggotai lima hingga tujuh tokoh yang arif dalam pelbagai bidang.


“Nama mereka akan diumumkan minggu depan kerana saringan masih lagi dibuat. Mereka merupakan warga tempatan yang diiktiraf sebagai pemimpin global.


“Mereka akan menganggotai majlis itu selama dua tahun, bertujuan menambah baik perkhidmatan kesihatan,” katanya.


Dr Dzulkefly turut berkata kerajaan muktamad untuk membubarkan MySihat yang bertujuan mempromosikan kesihatan di negara ini.


“Ia merupakan satu langkah rasionalisasi dan langkah-langkah lain turut akan menyusul,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]