Sinar Harian sedia anjur debat tiga calon Presiden Umno

in Nasional by


SHAH ALAM – Sinar Harian bersedia menjadi tuan rumah kepada debat antara tiga calon Presiden Umno iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, akhbar ini sedia menganjurkan debat tersebut bagi memberi peluang ketiga-tiga tokoh itu menyuarakan pandangan secara terbuka di hadapan audiens.


“Kami di Sinar Harian sebagai sebuah media yang bebas bersedia pada bila-bila masa untuk menyediakan pentas dan segala kemudahan untuk debat tersebut diadakan di Auditorium Karangkraf.


“Orang ramai bukan sahaja ahli Umno berpeluang melihat tokoh dan idola mereka berhujah secara terbuka di hadapan audiens seperti mana yang telah kami lakukan melalui Wacana Sinar sebelum ini,” katanya.


Untuk rekod, Sinar Harian telah menganjurkan 62 siri Wacana Sinar yang membicarakan pelbagai isu yang mencakupi pelbagai topik untuk memberikan penerangan lebih komprehensif mengenai isu semasa kepada orang ramai.


Tengu Razaleigh sebelum ini menyatakan kesediaan berdebat dengan dua lagi calon presiden Umno, Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit.


Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li berkata, beliau bersedia untuk menjawab apa sahaja pertanyaan dari dua lagi calon jawatan presiden Umno atau wakil mereka dalam sesi debat tersebut.


Beliau juga berharap Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin juga sanggup untuk berdebat dan memberi penjelasan atas apa yang dibangkitkan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]