SPRM perlu awasi pemilihan Umno

in Nasional by


SHAH ALAM – Veteran Umno mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengawasi kempen pemilihan Umno bagi mengelakkan berlakunya sogokan politik wang daripada calon bertanding.


Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, beliau juga mahu perwakilan menolak calon yang menggunakan wang untuk membeli undi.


Katanya, jika berlaku perwakilan perlu membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk tindakan.


“Sudah sampai masanya Umno memerangi politik wang ini habis-habisan demi untuk mengembalikan Umno kepada dasar perjuangan asalnya dalam usaha untuk mendapatkan semula keyakinan ahlinya selepas kekalahan dalam PRU14.


“Pihak SPRM mengawasi kempen yang dijalankan bagi mengelak perlakuan sogokan politik wang,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, Veteran juga berharap calon-calon yang bertanding pada 30 Jun ini tidak akan menggunakan ‘warlord’ sebagai agen mereka untuk tidak terlibat dengan politik wang.


“Warlord inilah yang selalunya membeli undi perwakilan bagi pihak calon,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap pertandingan merebut jawatan di semua peringkat dalam pemilihan akan berjalan dalam suasana muhibah dan penuh persaudaraan antara mereka yang menawar diri bertanding.


Nasihatnya, elakkan serangan peribadi dan memburuk lawan sebaliknya mewujudkan satu pertandingan yang sihat.


“Veteran berharap Jawatankuasa Pemilihan UMNO dapat mengendalikan pemilihan dengan telus dan bersih tanpa unsur-unsur tidak sihat seperti penipuan kiraan undi seperti yang pernah berlaku dalam pemilihan dahulu.


“Oleh itu Veteran mahu supaya semua calon yang bertanding untuk jawatan utama seperti Presiden, Timbalan dan Naib dibenarkan menghantar wakil mereka semasa pengiraan undi di semua bahagian,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]