Suhakam rayu kerajaan masuk campur isu pelarian

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas kegagalan menamatkan konflik dan peperangan yang tidak berkesudahan seperti di Yaman, Syria, Palestin dan Myanmar.


Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail berkata, krisis itu mengakibatkan jumlah peningkatan luar biasa pelarian mendapatkan perlindungan di Malaysia dan juga di negara-negara lain.


Beliau berkata demikian sempena Hari Pelarian Sedunia yang mana mereka berdiri teguh bersama 68 juta pelarian di seluruh dunia.


“Dalam isu Yeman, atas dasar kemanusiaan, Suhakam merayu kerajaan baharu Malaysia di mana dalam penaksiran kami, kerajaan sebelum ini tidak mempunyai mandat daripada rakyat untuk menamatkan dan membebaskan diri daripada terlibat dalam konflik yang seolah-olah dilakukan dengan kerahsiaan dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Suhakam juga menyambut baik komitmen kerajaan dalam aku janji pilihan raya terutamanya janji 35 unuk memastikan pelarian diberikan ‘hak untuk bekerja’ yang mana ia akan mengurangkan keperluan negara terhadap tenaga pekerja asing dan ‘mengurangkan risiko penglibatan pelarian dalam kegiatan jenayah dan perniagaan haram’ kerana dengan pelaksanaan yang cekap, dalam jangka masa yang panjang ia akan menyediakan rangka kerja dan protokol yang mapan dalam mengurus dan memproses pelarian di Malaysia.


Kerajaan juga dinasihati untuk menyertai Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian dan pada masa sama, semua kerajaan Asean juga didorong melakukan perkara serupa dalam kelompok semangat dan tanggungjawab bersama di rantau ini.


“Suhakam tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa penyertaan ini akan membuka benteng kepada kemasukan pelarian, mahupun tanggapan bahawa penyediaan hak asasi manusia untuk pelarian seperti pendidikan dan pekerjaan akan mengakibatkan peningkatan jumlah pelarian di Malaysia,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]