Tak mahu Pemuda Umno dicop diva: Wan Agyl

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Calon Ketua Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan bertekad untuk membawa sikap keterbukaan dalam sayap parti itu.


Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara (AKULN) itu berkata, ini termasuklah mendekatkan jurang antara pimpinan tertinggi dengan ahli di akar umbi.


“Pemuda Umno hari ini perlu lebih bersifat terbuka. Kita tak nak rakyat dan ahli menilai Pemuda Umno sebagai eksklusif, elitis dan dicop sebagai diva.


“Kalau kita tengok jurang antara kepimpinan pusat dengan akar umbi terlalu jauh. Ketika berkempen, saya dapati perwakilan di akar umbi mengeluh kerana sebelum ini mereka sukar untuk berjumpa dengan Ketua Pemuda Umno sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Sehubungan itu, menurut Wan Agyl, beliau berjanji akan turun ke semua bahagian dan melibatkan suara perwakilan di negeri dalam setiap keputusan pusat sekiranya menang jawatan Ketua Pemuda Umno.


“Kita perlu perkasakan peringkat cawangan kerana mereka jambatan antara masyarakat dengan Umno. Tanpa cawangan, kita tak tahu masalah di peringkat akar umbi,” katanya.


Selain itu, antara manifesto Wan Agyl ialah memantapkan ekonomi Pemuda Umno melalui penubuhan koperasi sayap itu.


“Setelah Umno kalah, kita kena akur apabila kepimpinan kata tiada dana. Jadi bagaimana Pemuda nak bergerak?


“Maka kita kena pastikan Pemuda di peringkat bahagian ada pemangkin ekonomi dan pendapatan sendiri yang berterusan.


Caranya ialah dengan menubuhkan koperasi dan melibatkan golongan profesional dalam pengurusannya,” katanya.


Calon berusia 34 tahun ini juga berpendirian untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan jika terpilih sebagai Ketua Pemuda Umno.


“Kepimpinan parti dulu kebanyakannya duduk dalam kerajaan. Jadi kita ada kekangan sebagai parti politik yang berkhidmat untuk rakyat mahu menegur kerajaan.


“Jika saya jadi Ketua Pemuda Umno, saya janji tidak akan ambil kerusi parlimen atau Dun. Sebaliknya fokus saya adalah untuk membawa perubahan dalam parti,” katanya.


Beliau juga berharap perwakilan tidak menilainya dari segi pengalaman politik sebaliknya pengalaman memimpin.


“Saya mungkin tiada pengalaman politik luas seperti calon-calon lain. Tetapi saya memiliki pengalaman sebagai pemimpin di sektor korporat sebelum ini,” katanya yang pernah berkhidmat di Bahagian Dasar dan Perancangan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]