50 peratus gaji Senator disumbang ke Tabung Pemuda Umno

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Calon Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berjanji menyumbangkan 50 peratus daripada gajinya selaku Senator Dewan Negara kepada tabung Pemuda Umno, jika dipilih pada pemilihan parti Melayu itu, 30 Jun ini.


Beliau yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno membuat tawaran itu jika diangkat sebagai Ketua Pemuda Umno.


“Kalau saya dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno, saya akan potong gaji sebagai Senator Dewan Negara sebanyak 50 peratus untuk disalurkan ke dalam Tabung Pemuda Umno.


“Sekarang Umno dah jadi parti pembangkang, oleh itu, memang perlukan suntikan dana ini,” katanya ketika sidang media di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.


Ketika ditanya adakah beliau akan menderma ke dalam Tabung Harapan, Khairul Azwan menjawab, partinya lebih memerlukan wang berbanding kerajaan kerana kini berstatus pembangkang.


“Sekiranya dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno, selagi saya jadi Senator Dewan Negara, potongan gaji 50 peratus itu akan disumbangkan kepada Tabung Pemuda Umno,” jelasnya.


Difahamkan gaji bulanan anggota Dewan Negara  ialah RM11,000.


Dalam perkembangan sama, Khairul Azwan berjanji akan berperanan sebagai Ahli Dewan Negara yang telus.


“Saya akan sokong jika rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan memberi manfaat kepada rakyat, saya akan sokong.


“Tak semestinya jika dah jadi pembangkang semua rang undang-undang saya akan  bantah, kalau baik untuk rakyat, saya akan sokong,” katanya.


Khairul Azwan tersenarai antara sembilan calon Ketua Pemuda Umno yang merebut posisi itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]