Gesa bank longgarkan syarat pinjaman

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi memohon kepada Bank Negara Malaysia (BNM) agar mempertimbangkan syarat kelayakan pinjaman bagi pembeli rumah pertama seperti yang disuarakan sebelum ini.


Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini, beliau seringkali menyuarakan perkara itu namun belum diambil sebarang tindakan.


Menurutnya, masalah itu bukan sahaja dihadapi rakyat negeri ini malah seluruh negara yang gagal memiliki rumah sendiri setelah permohonan pinjaman mereka ditolak.


“Isu ini, bukan sahaja saya yang suarakan malah pihak lain seperti pembangkang juga mengutarakan perkara sama. Ia bukan soal politik tetapi kepentingan awam. Ramai pembeli pertama tidak dapat memiliki rumah mereka sendiri kerana permohonan mereka ditolak bank.


“Sebagai pembeli pertama, sudah semestinya mereka tidak cukup wang untuk membeli rumah. Dan mereka membuat permohonan untuk meminjam. Tetapi malangnya, permohonan mereka itu ditolak kerana tidak layak. Isu ini bukan baru, sudah lama disuarakan tetapi tiada tindakan dari BNM,” katanya kepada media tadi.


Tambahnya, beliau telah membangkitkan isu itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam perjumpaan pada 4 Jun lalu di ibu negara.


“Salah satu isu yang saya bangkitkan kepada Zuraida adalah isu ini. Dan beliau pun bersetuju bahawa isu ini perlu ditangani. Pada peringkat kerajaan negeri, kita hanya bina rumah dan jual. Tetapi, jika ramai pembeli pertama tidak diluluskan permohonan pinjaman mereka, bagaimana rumah yang dibina nak dijual?


“Hari ini, saya terima surat dari Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) dan tiga Chamber of Commerce (Malay, Chinese dan Indian) yang turut gusar dengan isu ini, dan mereka minta saya memanjangkannya kepada kementerian,” katanya.


Jagdeep berkata, beliau akan menyerahkan surat itu kepada Zuraida untuk tindakan susulan dari pihak kementerian.


“Saya akan serahkan surat ini kepada beliau (Zuraida) hari ini (semalam) untuk kementerian mempertimbangkan langkah-langkah sewajarnya dan mungkin boleh duduk semeja dengan BNM dalam menangani masalah ini. Ini kerana, mengikut kenyataan BNM tahun lalu, kelulusan permohonan pinjaman perumahan kekal 74.2 peratus.


“Walaubagaimanapun, berlainan pula dengan kenyataan REHDA bahawa permohonan pinjaman perumahan yang ditolak mencapai 60 peratus. Tetapi, saya percaya dengan kenyataan ini kerana ia berlaku di Pulau Pinang. Salah satunya, projek di Bandar Casia, Batu Kawan. Dari 1,300 nama pemohon yang dihantar, hanya 400 diterima,” katanya.


Jelasnya, ia seperti kerja sia-sia apabila kerajaan menyediakan rumah mampu milik, termasuk rumah kos rendah dan kos sederhana rendah apabila golongan sasaran yang sebenar tidak mampu memilikinya kerana permohonan mereka ditolak oleh bank.


Tambahnya, isu itu bukan perkara terpencil di negeri ini sebalik masalah rakyat di negara ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]