Idris didesak lepaskan jawatan

in Politik by


MELAKA TENGAH – Umno Bahagian Tangga Batu malam tadi, mendesak Datuk Seri Idris Haron melepaskan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian itu serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.


Timbalan Ketua Umno Bahagian berkenaan, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata, mantan Ketua Menteri itu perlu bertanggungjawab atas kekalahan BN Melaka pada PRU14 lalu.


Menurutnya, desakan itu dibuat melalui satu usul dikemukakan pada mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian Tangga Batu yang disertai seramai 32 AJK bahagian pada malam Rabu.


“Salah seorang AJK mengemukakan usul meminta Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka supaya bertanggungjawab terhadap kekalahan menimpa negeri dan Tangga Batu pada PRU14 lalu.


“Kita telah kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dun.


“Menerusi perbincangan awalnya kita meminta Idris bertanggungjawab dan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN negeri dan juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu,” katanya dalam sidang media itu malam tadi.


Idris yang 10 tahun memegang jawatan itu difahamkan tidak meneruskan mesyuarat tersebut sejurus usul diutarakan oleh salah seorang AJK lantaran terus meninggalkan mesyuarat bersama tujuh yang lain.


Tambah Abu Bakar, mesyuarat itu kemudian diteruskan dengan perbincangan dipengerusikannya bersama AJK yang masih kekal pada mesyuarat itu yang menyaksikan seramai 19 orang bersetuju dengan usul tersebut manakala dua membantah dan dua lagi berkecuali.


“Baimanapun persetujuan sebulat suara belum boleh diputuskan sehingga pada mesyuarat seterusnya yang akan dipengerusikan oleh Idris,” jelasnya.


Bekas Ketua Menteri Melaka itu, sebelum ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatan Anggota Majlis Umno Ketua Umno Bahagian Tangga Batu pada pemilihan umno hujung bulan ini.


Kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu itu bakal dicabar oleh AJK bahagian itu, Datuk Seri Ali Muhammad.


Idris yang juga Adun Kawasan Sungai Udang gagal mempertahankan jawatan ketua menteri yang disandangnya pada 7 Mei 2013.


Pada PRU14 lalu, BN Melaka hanya memenangi 13 daripada 28 kerusi Dun manakala Pakatan Harapan mencapai majoriti 15 kerusi Dun sekaligus berjaya membentuk kerajaan negeri.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]