Iran belum mahu angkat bendera putih

in Sukan by


PENGENDALI Iran, Carlos Quieroz menggesa anak buahnya supaya tidak mengalah sebaliknya terus mengukuhkan semangat juang masing-masing pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A menentang Portugal, Selasa depan.


Kekalahan 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi kedua awal pagi tadi menjejaskan peluang Iran untuk melakar sejarah layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak enam penyertaan Piala Dunia.


Pasukan No. 37 dunia itu sebelum ini beraksi cemerlang dengan mengutip tiga mata ke atas Maghribi hasil kemenangan 1-0 pada minit kecederaan Sabtu lepas.


Kini mereka ketinggalan satu mata di belakang Portugal dan Sepanyol dengan detik penentuannya adalah pada aksi bertemu juara Eropah itu di Saransk, Selasa ini.


“Kami begitu bersemangat untuk mengharungi perlawanan terakhir ini.


“Kami tahu ia sukar, namun kami tidak datang ke sini dengan mengharapkan perkara yang mudah.


“Ini baru set pertama. Kalau kita bandingkan dengan tenis, set kedua kami adalah menentang Portugal. Kami masih lagi boleh bermimpi untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.


Mengulas pertemuan itu, Queiroz menegaskan pemainnya berhak mendapat pujian kerana menampilkan aksi yang begitu kemas sebelum dikecewakan gol ‘pelik’ Diego Costa, dan jaringan mereka tidak dikira selepas dinilai semula menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).


“Kami bersedia untuk menderita dan bersaing dalam usaha memenangi perlawanan ini. Bola sepak  bukanlah begini, namun adil untuk menyatakan betapa kami layak mendapat keputusan yang lebih baik,” tambahnya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]