Jerung GLC: Biar SPRM bertindak

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian Industri Asas Tani menyerahkan isu ‘jerung’ dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk di bawah kementerian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Menterinya, Salahuddin Ayub berkata pihaknya akan terus meneliti segala laporan diterima untuk tindakan selanjutnya.


“Biarlah perkara itu dalam pengetahuan SPRM, biar SPRM bertindak ikut kuasa yang ada pada mereka.


“Bagi pihak kementerian setakat ini yang saya boleh sebut Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), itu sahaja dulu.


“Yang lain-lain nanti saya akan teliti sekiranya ada laporan lengkap, ada asas barulah saya akan ambil tindakan selanjutnya termasuklah mungkin memanggil jawatankuasa yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang untuk membuat audit,” katanya kepada Sinar Harian.


Hari ini, Sinar Harian melaporkan SPRM akui menerima banyak aduan kes skandal dan penyelewengan ‘jerung’ dalam jabatan-jabatan kerajaan dan GLC.


Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, sehingga menjelang Aidilfitri baru-baru ini SPRM didatangi orang ramai termasuk kakitangan dalam jabatan-jabatan kerajaan dan GLC  mendedahkan penyelewengan yang disembunyikan selama ini.


Dalam pada itu, Salahuddin berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk kakitangan kementerian membuat sebarang aduan salah laku.


“Kita ada Unit Integriti Kementerian (UIA) untuk ambil tindakan. Kita pun ada penasihat undang-undang.


“Kita ada pusat aduan, UIA, hotline, audit dalaman dan kita alu-alukan (aduan) untuk kebaikan kita,” katanya.


Pada sidang media hari ini, Salahuddin memaklumkan Kabinet bersetuju memperluaskan bidang kuasa audit supaya dijalankan kepada semua kementerian.


“Semalam Kabinet setuju untuk jawatankuasa siasat isu tadbir urus yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang diperluaskan bidang kuasanya untuk audit terhadap semua kementerian.


“Saya juga bertanggungjawab beri beberapa nota kepada beliau terhadap isu-isu yang berlaku supaya dilihat lebih adil di samping audit dalaman setiap kementerian,” katanya.


Sebelum ini, Nafas digantung perlembagaannya selepas didapati menghadapi masalah serius dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan dari segi kompetensi kebertanggungjawaban serta ketelusan dalam pengurusan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]