Kerajaan teruskan projek TRX

in Nasional by


PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Kabinet bersetuju untuk meneruskan projek Bangunan Tun Razak Exchange (TRX) dengan memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC).


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dana tambahan itu akan meningkatkan jumlah besar peruntukan kerajaan kepada TRXC kepada RM6.5 bilion.


Beliau berkata, keputusan itu akan menangani kebimbangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.


“Kabinet membuat keputusan meneruskan projek TRX demi menjana kembali dana yang diselewengkan serta membayar balik semua pinjaman lama dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang telah dibuat.


“Kabinet berpendapat bahawa penerusan projek ini akan menghasilkan keuntungan kecil kepada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.


“Ini akan membolehkan TRXC membayar balik hutang dan menjana kembali dana yang telah diselewengkan oleh 1MDB.


“Malah Kerajaan Persekutuan juga yakin penerusan projek ini akan meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas,” katanya.


Guan Eng berkata, kegagalan menyiapkan TRX hanya akan mengakibatkan bayaran pampasan sebanyak RM3.51 bilion


“Selain kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lesap (sunk cost) yang diperuntukkan kepada TRXC, Kuala Lumpur akan dibelenggu satu projek mega terbengkalai jika TRX tidak disiapkan,” ujar beliau.


Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan TRXC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi, Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan kepada polis tentang penyelewengan dana RM3.1 bilion oleh 1MDB.


“Kementerian Kewangan akan memastikan bahawa suntikan dana terbaharu ini akan dibelanjakan secara berhemat dan kepentingan pembayar cukai serta kepentingan pelabur terus dibela,” katanya


“Sehingga kini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT, Landlease dan IJM (Menara Prudential), untuk makluman Menara The Exchange 106 dan Menara Prudential dijangka akan siap dibina pada awal 2019.


“Sebanyak RM2.8 bilion diperlukan oleh TRXC untuk menyiapkan  segala infrastruktur bagi projek TRX. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk kerja-kerja berkenaan. Oleh itu, TRXC telah meminta bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]