Menangi semula hati rakyat

in Nasional by


SHAH ALAM – Visi meletakkan Umno di hati rakyat semula merupakan antara tugas yang menanti jika dipilih Ketua Pemuda Umno yang baharu.


Menurut calonnya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, meskipun berat tuntutan itu, namun beliau percaya Umno akan kembali mendapat tempat dalam kalangan rakyat.


“Bagi saya tugasan itu yang paling utama, saya percaya Umno kekal relevan dan akan kembali mendapat tempat di hati rakyat,” katanya dalam program FB Live Sinar Harian, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, ketika menyentuh pemilihan Umno kali ini, Izzat berkata, beliau bangga dengan keterbukaan yang dibawa Umno ketika ini.


“Saya agak bangga dengan pencalonan kali ini, misalnya calon presiden ada daripada golongan muda,” katanya.


Namun katanya, apa yang lebih penting adalah pembaharuan daripada segi ketokohan, prinsip integriti dan kewibawaan.


“Ini antara perkara yang perlu dilihat, untuk itu saya memperjuangkan perkara ini seandainya terpilih nanti,” katanya.


Selain, Mohd Nor Izzat, senarai lain dalam barisan calon Ketua Pemuda Umno termasuk Khairul Azwan Harun, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan, Mohd Shahar Abdullah, Jamal Md Yunos, Imran Afhar dan Abdul Razak Mohd Yusuf.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]