Nelayan pantai hilang rezeki

in Edisi Utara by


NIBONG TEBAL – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa untuk memberi perhatian serius terhadap isu pencerobohan pukat apollo yang semakin serius di negeri ini.


Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, pencerobohan bot terbabit bukan sahaja menjejaskan pendapatan lebih 700 nelayan pantai di kawasan ini malah menyebabkan hidupan laut terancam berikutan kerakusan mereka untuk mendapatkan keuntungan.


Menurutnya, isu pencerobohan berkenaan bukan perkara baharu yang membelenggu nelayan pantai di sini malah ia telah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan berkesan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di negara ini.


“Kementerian dan agensi berkaitan perlu memandang serius perkara ini dan segara mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot pukat apollo malah sekiranya perlu batalkan lesen mereka kerana tindakan tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan tangkapan ikan sehingga menjejaskan pendapatan nelayan pantai.


“Lebih sebulan saya menjadi wakil rakyat di sini, apabila saya turun bertemu dengan golongan nelayan isu ini yang sering dibangkitkan.


“Mereka luah rasa kecewa atas kegagalan pihak berkuasa dalam membendung masalah ini sehingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran pejabat Adun Sungai Acheh di sini malam kelmarin.


Zulkifli berkata, beliau sebelum ini telah berjumpa dengan Pengarah Jabatan Perikanan negeri bagi menyuarakan masalah ini dan berharap isu ini dapat diatasi dengan segera bagi menjaga kebajikan nelayan bukan sahaja di kawasan Sungai Acheh malah di seluruh negeri ini.


Beliau turut meminta Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Samad untuk menggerakkan pemantauan yang lebih kerap oleh pasukan polis marin di kawasan perairan negeri ini malah gesaan yang sama dibuat kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim bagi memastikan bot-bot terbabit tidak bermaharajalela.


“Kebanyakan nelayan pantai di sini hanya bergantung hidup dengan tangkapan hasil laut sahaja tapi bagaimana mereka nak meneruskan kehidupan kalau setiap kali pulang dari laut tiada hasil yang dibawa balik.


“Sekiranya isu ini tidak diatasi ia bukan sahaja akan menyebabkan nelayan pantai terus merana malah dibimbangi akan menjejaskan sumber ikan pada masa akan datang,” katanya.


Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, bot-bot pukat apollo sering menceroboh kawasan nelayan pantai di kawasan ini pada jarak antara 1 batu nautika hingga 2 batu nautika dari pantai.


Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, nelayan-nelayan pukat apollo itu menangkap berbagai jenis hidupan laut termasuk anak-anak ikan dan anak ketam yang kecil untuk dijadikan baja.


“Nelayan-nelayan bot pukat apollo ini beroperasi pada waktu malam dari jam 6 petang hingga 6 pagi keesokan hari. Sebuah bot pukat apollo memerangkap dan membunuh 200kg hingga 300kg anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi seperti gelama, bawal, senangin dan juga anak ketam.


“CAP kesal dengan kejadian yang berlaku ini dan jika dibiarkan sumber laut akan mengalami kepupusan dan kehidupan nelayan pantai di sini akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang,” katanya.


Sehubungan itu, SM Mohamed berkata, CAP berharap pihak berkenaan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]