Perniagaan dadah tenatkan kawasan bergolak di selatan Thai

in Global by


BANGKOK – Kira-kira 7,000 orang maut dalam konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004, tetapi wilayah-wilayah berkongsi sempadan dengan utara Malaysia turut berdepan masalah dadah yang teruk.


Keganasan berkaitan dengan dadah meragut banyak nyawa di wilayah-wilayah di selatan tetapi masalah narkotik yang semakin teruk kekal menjadi masalah yang berakar umbi dalam konflik bersenjata di kawasan di selatan.


Satu daripada insiden berkaitan dadah di daerah Bannang Setar di Yala minggu lalu, bagaimanapun telah mendapat perhatian media berikutan ia amat mengerikan yang menyaksikan lima lelaki berumur antara 25 dan 39 tahun ditembak mati ala Mafia.  


Dalam kejadian pada 1 pagi itu, kesemua mangsa mungkin keletihan selepas seharian berpuasa, sedang berehat apabila kumpulan penyerang tidak dikenali datang dengan menunggang motosikal menyerbu masuk ke rumah itu, menikam mereka di mulut dan belakang sebelum menembak mati dengan raifal M16 dan senapang patah.


“Kami masih menyiasat insiden ini,” demikian respons segera Mej  Jen Daoloi Meundech semasa ditanya oleh Bernama baru-baru ini tentang pembunuhan kejam itu yang telah mengejutkan masyarakat Islam yang amat akrab itu hanya beberapa hari sebelum mereka menyambut Aidilfitri.


Timbalan Ketua Polis Kawasan 9 itu enggan mendedahkan motif disebalik pembunuhan kejam itu walaupun penyiasat termasuk timbalan jurucakap bagi polis negara, menyalahkan perniagaan dadah yang semakin berleluasa sebagai punca konflik dan pembunuhan ngeri itu.


Penyiasat mendakwa, dua lelaki yang mati itu ialah pengedar utama Kratom (Ketum) dan Methamphetamine, menyatakan pihak berkuasa mengesyaki empat penyerang terbabit dalam pembunuhan kejam itu.


Seorang daripada suspek dilaporkan ditahan beberapa hari lepas tetapi menafikan terlibat dalam jenayah itu.


Kawasan terletak di bawah bidang kuasa Polis Kawasan  9 termasuk wilayah paling selatan di Thailand iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla yang sering berlaku kejadian serangan bom dan pembunuhan yang dikaitkan dengan konflik bersenjata di selatan Thailand.


Pengedar dadah tempatan beroperasi di wilayah-wilayah selatan, menurut Daoloi, kebiasaannya mereka yang ada hubungan  baik dan mendapat sokongan  sindiket-sindiket amat berkuasa untuk menjalankan kerja mereka itu.


“Mereka biasanya disokong sindiket-sindiket dadah berkuasa dalam menjalankan operasi  mereka di selatan,” katanya dan menurutnya dalam penyiasatan mereka, mereka telah berjaya mengenal pasti dalang sindiket serta cara mereka menyeludup dadah.


Pengedar dadah tempatan, katanya kebiasaannya memilih cara  berkongsi keuntungan dengan penyokong mereka yang berkuasa semasa menjalankan kerja menyeludup dadah, memilih 20 peratus keuntungan daripada penghantaran dadah sebagai bayaran mereka manakala bakinya milik sindiket.


Sementara itu, Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, yang mengetuai Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) polis berkata jumlah dadah diseludup ke wilayah-wilayah selatan telah meningkat dengan ketara sehingga mencecah satu tan daripada beberapa kilogram sebelum ini, membuktikan peningkatan begitu tinggi terhadap dadah.


Banyak daripada dadah yang membanjiri wilayah-wilayah selatan didatangkan daripada “Segi Tiga Emas’ dengan raja dadah menggunakan keuntungan daripada peniagaan dadah untuk membiayai tentera mereka sendiri dan mengembangkan ekonomi-dadah tempatan.


“Amaun (aliran masuk dadah ke selatan Thailand) adalah tinggi kerana permintaan (bagi dadah) adalah tinggi,” kata Sommai kepada Bernama, sambil menambah selatan Thailand telah menjadi “pusat transit” pilihan bagi penyeludupan dadah ke pelbagai pasaran asing termasuk  Malaysia.


Penyiasat menyatakan banyak daripada dadah yang tiba di selatan Thailand, kebanyakannya jenis  Methamphetamine seperti “Ice” (Kristal Methamphetamine) akan disimpan sementara di “rumah-rumah simpanan” terletak di pekan dan kampung sepanjang sempadan sebelum pembawa menyeludup dadah itu ke Malaysia.


Dari Malaysia,  rangkaian pengangkutan moden negara berkenaan akan  memastikan dadah sampai bukan sahaja ke negara seperti Jepun dan Taiwan tetapi juga Eropah dan Amerika Utara, untuk memastikan keuntungan maksimum diperoleh sindiket penyeludupan itu.


Sommai juga berkata walaupun tiada bukti menunjukkan pergolakan bersenjata di kawasan selatan dibiayai dengan wang dadah, namun ia perlu disiasat lebih lanjut.


Ini kerana agensi itu mengesyaki sindiket telah mengambil peluang daripada keadaan tidak stabil oleh konflik bersenjata untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah, khususnya merentas sempadan, untuk mengaut keuntungan besar, katanya. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]