Prestasi semasa TRW resahkan penyokong

in Sukan by


PRESTASI semasa Kelantan yang kini menghuni tangga terbawah Liga Super meresahkan penyokong yang tidak rela pasukan pantai timur itu tersingkir ke pentas Liga Premier, musim depan.


Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB), Mohd Zainy Mohd Zain mengakui hakikat tersebut apatah lagi Kelantan bakal mengharungi baki enam perlawanan berdepan pasukan lebih kuat.


“Dengan lawan yang menanti Perak, JDT (Johor Darul Ta’zim), Pahang, Terengganu, Melaka United dan Selangor, sudah tentu ia satu pertemuan sukar bagi Kelantan untuk keluar daripada tangga tercorot.


“Namun saya fikir kita kena realistik apabila bercakap mengenai peluang Kelantan kekal di Liga Super kerana pasukan lain juga tidak mahu ketinggalan mendapatkan mata bagi mengukuhkan kedudukan mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Selepas 10 musim beraksi dalam Liga Super, Kelantan yang pernah dilabel gergasi pantai timur mengharungi saat-saat genting untuk kekal di liga domestik utama itu susulan prestasi buruk sepanjang musim ini.


TRW yang berdepan tiga kali pertukaran jurulatih selain transformasi drastik dengan sebahagian besar pemain senior dikeluarkan menyebabkan pasukan berkenaan hanya mampu mengutip 11 mata daripada 16 perlawanan sekali gus kekal di tangga tercorot.


Mohd Zainy berkata, jika merujuk kualiti permainan ketika Kelantan tewas 0-2 kepada PKNS FC tempoh hari, sukar buat pasukan itu mencipta kebangkitan dalam baki perlawanan selepas ini.


Tambahnya, ketiadaan tonggak senior menyaksikan pemain muda terpaksa meneruskan perjuangan dan ia jelas satu tekanan ke atas mereka untuk membawa pasukan keluar dari zon penyingkiran.


“Dalam situasi sukar ketika ini, sepatutnya pemain berpengalaman digunakan bagi mengimbangi kekuatan bukannya terus meminggirkan mereka yang akhirnya merugikan pasukan ini sendiri.


“Dengan stadium semakin kosong, tiada lagi laungan keramat ‘Gomo Kelate Gomo’. Pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan perlu memikirkan sesuatu bagi menyelamatkan pasukan Kelantan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]