Said Ali dicabar ketua pemuda

in Edisi Utara by


POKOK SENA – Ketua Pemuda Umno Pokok Sena, Kamarol Salleh menawarkan dirinya bagi bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Pokok Sena pada pemilihan parti kali ini.


Menurut Kamarol, selepas mendapat sokongan dari akar umbi beliau menyahut seruan supaya bertanding pada jawatan itu yang kini disandang oleh Datuk Said Ali Syed Rastan.


Katanya, kini sudah sampai masanya Umno Pokok Sena diberi nafas baharu dalam mengemudikannya selepas tewas pada pilihan raya lalu.


“Kekalahan Umno pada pilihan raya baru-baru ini merupakan signal rakyat bahawa kepimpinan Umno hari ini perlu tukar supaya sentiasa relevan dengan semasa. Kekalahan itu ada hikmahnya dan selepas turun menyelami mengapa Umno ditolak hari ini, jawapannya ialah kepimpinan sekarang perlu diubah .


“Oleh itu saya terpanggil bagi bertanding pada jawatan itu supaya dapat melakukan perubahan serta memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap Umno sekarang ini,” katanya semasa Majlis Menyambut Hari Raya Pemuda di sini malam tadi.


Menurut Kamarol, walaupun beliau sanggup bertanding pada jawatan itu tetapi itu tidak bermakna kepimpinannya itu akan menolak golongan veteran yang banyak berjasa selama ini.


Barisan kepimpinan Umno hari ini perlu meremajakan supaya lebih peka dengan masalah rakyat serta lebih agresif lagi bagi mendekati masyarakat.


“Sokongan rakyat terhadap Umno hari ini semakin terhakis jika dibandingkan dengan Harapan dan Pas. Ini terbukti pada PRU lalu Umno gagal meraih sebarang kerusi parlimen atau pun Dun di Pokok Sena.


“Sekarang ahli Umno Pokok Sena perlu bangkit serta beri kepercayaan kepada golongan muda bagi menerajui pucuk kepimpinan. Hari ini saya mahu golongan muda menjadi pembangkang yang lantang dalam memperjuangkan masyarakat di parlimen ini,” katanya yang merupakan bekas Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan.


Menurut Kamarol, jika diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian, beliau lebih suka memberikan kebebasan kepada ahli akar umbi untuk bersuara serta mengkritik tanpa dikenakan sebarang tindakan.


“Saya mahu melahirkan ahli Umno hari ini yang berani bersuara dan tidak mengambil sikap ‘yes man’ . Oleh kerana sikap demikianlah hari ini Umno telah ditolak oleh rakyat hingga gagal memerintah negara pada pilihan raya lalu,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]