Sasar buka 25 agrobazaar sehingga 2025

in Edisi by


KUANTAN – Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) menyasarkan membuka 25 buah Agrobazaar Rakyat 1Malaysia sehingga 2025 bagi membolehkan pengguna mendapatkan pelbagai produk pada harga berpatutan.


Pengerusinya, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, sehingga kini, terdapat empat buah agrobazaar di bawah pertubuhan itu iaitu di daerah ini, Pulau Tioman, Temerloh dan Bera.


Menurutnya, pada tahun depan, pihaknya menyasarkan membuka dua lagi Agrobazaar Rakyat 1Malaysia di daerah ini berdasarkan sambutan yang diberikan rakyat begitu menggalakkan.


“Matlamat utama kita bukan untuk memperoleh keuntungan semata-mata tapi mahu sediakan kedai yang menawarkan harga patut bukan sahaja kepada ahli Pasfa malah penduduk setempat,” katanya kepada ketika dihubungi, hari ini.


Tambahnya, konsep Agrobazaar Rakyat 1Malaysia merupakan satu platform pertumbuhan antara pengeluar dan pengguna yang mana pemasaran hasil keluaran petani, nelayan serta penternak dibuat tanpa menggunakan orang tengah.


Justeru, pihaknya mahu lebih banyak premis seumpama itu yang mengutamakan kesejahteraan rakyat diperbanyakkan di negeri ini.


“Matlamat kita adalah bagi memastikan orang tengah tidak lagi menguasai rantaian bekalan sekali gus membolehkan pengeluar dan pengguna bersama-sama mendapat keuntungan,” jelasnya.


Berhubung nilai jualan di Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, beliau berkata, untuk agrobazaar di Indera Mahkota di sini, jumlah jualan sebulan antara RM60,000 ke RM70,000.


“Jualan tertinggi sehingga kini dicatatkan di Pulau Tioman iaitu RM300,000 sebulan, ini kerana sambutan diberikan orang ramai dan penduduk di situ begitu menggalakkan,” katanya.


Beliau turut memaklumkan, nama Agrobazaar Rakyat 1Malaysia akan dikekalkan kerana ia diwujudkan bukan atas dasar politik dan kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]