Tangguh bina Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Payong

in Edisi Johor by


KLUANG – Kerajaan Johor akan menangguhkan sementara projek pembinaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, di Parit Sulong bagi mengkaji semula tapak berkenaan.


Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, sebelum ini projek pusat pelupusan itu telah diluluskan kerajaan terdahulu.


Menurutnya, langkah penangguhan projek itu dibuat berikutan bantahan berterusan dikemukakan penduduk di kawasan berkenaan.


“Kita akan kaji semula terhadap projek Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Parit Sulong sebelum keputusan muktamad mengenainya diputuskan.


“Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara juga akan membuat lawatan ke tapak projek di Bukit Payong bagi membuat penilaian lanjut dan lawatan tersebut dijangka pada Julai ini,” katanya ketika membuat lawatan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang CEP Renggam, dekat Simpang Renggam, di sini, hari ini.


Januari lalu media melaporkan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, ketika itu dilaporkan berkata, projek bernilai RM58.66 berkenaan sudah bermula dengan kontraktor projek juga sudah dilantik.


Katanya, pembinaan serta pembukaan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di tanah seluas 42.18 hektar amat penting berikutan pusat pelupusan sampah sedia ada di beberapa lokasi berhampiran sudah mencapai tahap maksimum dan kritikal.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]