Tiada perubahan kuasa parti Warisan Labuan

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan terdapatnya peralihan kuasa parti itu di kawasan Wilayah Persekutuan Labuan.


Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr menegaskan, parti Warisan di Labuan masih dalam proses penubuhan dan pimpinan di peringkat Labuan masih lagi berstatus penaja dan mereka ini terdiri daripada pejuang asal Warisan di pulau bebas cukai itu.


“Soal mendapat 50 peratus sokongan daripada pemimpin Warisan Labuan tidak timbul sama sekali kerana sebagai penaja, Ketua Penyelaras Labuan dilantik terus oleh Ibu Pejabat Warisan.


“Kami mengalu-alukan sokongan daripada semua pihak tetapi segala prosedur yang ditetapkan mestilah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Media tempatan hari ini melaporkan kononnya bekas Ahli Parlimen Labuanm Datuk Suhaili Abd Rahman mendapat sokongan lebih daripada separuh ahli parti Warisan Labuan untuk menerajui parti itu di Labuan.


Menurut Loretto secara peribadi beliau selalu menghubungi Setiausaha Penyelaras Labuan berkenaan dengan apa yang perlu dilakukan dan apa yang belum boleh dilakukan parti itu di Labuan memandangkan ia masih berstatus penaja.


Katanya parti itu boleh melantik siapa sahaja yang boleh bekerja dan diterima oleh rakyat namun Warisan Labuan tidak perlu ada pemilihan (jawatan) kerana ia masih berstatus penaja dan proses lantikan penyelaras parti itu di Labuan dibuat secara terus oleh pusat.


Oleh yang demikian katanya, tidak ada sebarang pertukaran kepimpinan di Labuan. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]