Tujuh ditahan selepas dua jam samun penduduk

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Tujuh lelaki warga Indonesia berjaya ditangkap dalam tempoh kira-kira dua jam selepas memecah masuk sebuah rumah penduduk di Felda Aping Timur, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi.


Menurutnya, ketika kejadian dua suspek lelaki masuk ke dalam rumah mangsa manakala suspek lain berada di luar.


“Suspek kemudian melarikan diri dalam 15 minit. Tiada kecederaan dilaporkan namun beberapa barangan milik mangsa disamun antaranya telefon bimbit, barangan kemas, wang tunai kira-kira RM4,800, kad pengenalan dan kad bank.


“Semasa kejadian, pasukan Task Force Rantau Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sedang membuat Op Rantau. Ekoran itu pasukan diketuai Inspektor P Davendran bersama 10 anggota terus bertindak memburu suspek berdasarkan maklumat sumber di kawasan Ladang sawit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Ahsmon berkata, tangkapan pada jam 5.30 pagi itu yang turut dilakukan bersama team lejang dibuat di sebuah pondok pekerja kawasan ladang sawit Felda Aping Timur.


Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 43 tahun itu merupakan warga asing.


“Polis berjaya merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, empat beg duit kecil, dua jam tangan dan tiga parang.


“Turut dijumpai satu kad pengenalan, dua lesen memandu serta wang tunai RM1,450,” katanya.


Kesemua suspek dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]