'Tujuh jam terkandas'

in Edisi Utara by


KUALA PERLIS – Seramai 346 penumpang bersama 18 anak kapal berdepan detik cemas apabila feri mereka didakwa terlanggar beting pasir dan terkandas di perairan Kuala Perlis, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, feri berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Kuah, Langkawi ke Kuala Perlis terkandas selama tujuh jam sebelum dapat diselamatkan.


Penumpang, Norhisham Yakoob, 42, berkata, dia bersyukur kerana dapat sampai dengan selamat ke jeti Kuala Perlis, bagaimanapun sedikit kecewa dengan kejadian berlaku.


Norhisham berkata, dia memahami kejadian feri terkandas itu tidak boleh dielakkan, bagaimanapun dia kecewa kerana terpaksa menunggu lama tanpa sebarang khabar berita.


“Kita faham kejadian macam ni kita tak boleh nak elak. Kita faham bila berlaku macam ni benda yang nak terjadi, terjadi. Tapi masalah depa tak maklum pada kita orang.


“Tunggu-tunggu, sampai empat jam, bila dah empat jam kita jadi panik. Apa yang berlaku, akhirnya keadaan menjadi kecoh sebelum diorang mengetuk bilik kapten,” katanya.


Katanya, kapten kapal kemudiannya turun sebelum memberitahu bahawa terpaksa menunggu air pasang untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis.


“Tunggu air pasang jam 2 pagi, sedangkan kami naik jam 7 malam. Bayangkan, naik feri dengan anak kecil, air tiada nak ke tandas dan perut lapar. Budak tak sihat pun ada dalam tu, jadi benda kena maklum,” katanya.


Sementara itu, Kannan Menashisundaram, 30-an, berkata, dia terlepas bas untuk pulang ke Kuala Lumpur disebabkan tindakan menyelamat yang lewat tiba itu.


“Tiket bas saya jam 10.45 malam, namun sekarang sudah jam 1.15 pagi. Jikalau diikutkan, saya patut sampai ke Kuala Perlis jam 8.15 malam selepas naik jam 7 malam,”katanya.


Manakala, warga emas, Chempawan Nawi, 85, berkata, dia ketakutan terkandas selama tujuh jam dan merasa terketar-ketar kerana terpaksa menahan untuk membuang air kecil.


Sementara itu,  Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata, pihaknya menerima 163 aduan berkaitan insiden feri terkandas setakat jam 2 pagi itu.


Zainudin berkata, rata-rata pelancong membuat aduan selepas terlepas bas dan penerbangan balik ke destinasi masing-masing antara jam 9 hingga 11 malam.


Beliau berkata, pihaknya turut melahirkan kekecewaan kerana insiden feri terkandas selama tujuh jam yang berlaku kali pertama itu tidak ditangani dengan baik.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]