Umno sama seperti kapal Titanic

in Nasional by


SHAH ALAM – Kejatuhan Umno dalam PRU14 baru-baru ini diibaratkan seperti karamnya kapal persiaran mewah, RMS Titanic pada 1912.


Ini kerana pada ketika itu, ramai berpendapat bahawa kapal itu tidak mungkin karam kerana mempunyai teknologi yang tinggi.


Sama seperti Umno, calon Exco Pemuda Umno, Zamri Mohd Isa, 39, berkata, runtuhnya Umno pada tarikh keramat 9 Mei lalu adalah satu keputusan yang tidak dijangka selepas parti gah menerajui negara lebih 60 tahun.


“Sama seperti Titanic. Dulu orang kata kapal itu tidak akan karam langsung. Tetapi tiba-tiba langgar bongkah ais terus dia karam tanpa disangka. Masa itu kita terlalu angkuh dan terlalu yakin,” katanya.


Beliau berkata, untuk menimbulkan semula Umno yang telah karam, satu kajian perlu dilakukan bagi meneliti punca sebenar parti yang berusia 72 tahun itu ditolak rakyat dalam PRU14.


Sebagai seorang peguam, beliau melihat Perlembagaan Umno itu perlu dipinda bagi meneruskan kelangsungan Umno untuk diterima pada masa kini.


“Antara perkara-perkara yang saya lihat adalah dahulu seseorang itu duduk di pucuk pimpinan, dia duduk terlalu lama dan terlalu berkuasa. Apabila ada suara-suara penentangan, suara-suara tidak bersetuju lantas dibuang daripada parti.


“Apabila tiada teguran untuk check and balance, akhirnya orang yang dalam parti tidak berani bercakap. Sebab itu wujudnya ‘yess boss yess boss’. Akhirnya orang yang berada di pucuk pimpinan dia akan terlalu berkuasa,” katanya.


Lantas jika dipilih sebagai Exco Pemuda Umno dalam pemilihan sayap parti itu Sabtu ini, beliau berjanji akan mengutamakan agenda meminda Perlembagaan Umno supaya parti itu kekal realistik.


“Saya akan melihat dan mengkaji had penggal jawatan utama dalam Umno, khususnya presiden, timbalan presiden, ketua-ketua bahagian malah sampai ke ketua cawangan. Kita perlu melihat secara total bagaimana kita nak pastikan bahawa mereka memegang jawatan itu tidak menyalahgunakan kuasa mereka.


“Kita juga mungkin boleh wujudkan majlis penasihat presiden. Dalam perlembagaan itu, majlis penasihat presiden boleh menasihati presiden dan mereka tidak boleh dipecat,” katanya.


Zamri ketika ini merupakan Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan Teluk Bahang, Ketua Penerangan PPU Balik Pulau, Ahli Jawatankuasa Biro Pelajar Luar Negara Umno, Peguam Umno Pulau Pinang, Presiden Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]