Ahmad Zahid kekal Ketua Umno Bagan Datuk

in Politik by


BAGAN DATUK – Tiga jawatan utama Umno Bagan Datuk tidak dipertandingkan pada pemilihan bahagian kali ini.


Jawatan tersebut adalah ketua Umno bahagian yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan ketua Umno bahagian disandang Adun Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.


Turut tidak dipertandingkan jawatan naib ketua Umno bahagian yang disandang bekas Exco negeri yang juga Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.


Perkara berkenaan disahkan sendiri Shahrul Zaman ketika dihubungi semalam memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas tiada yang tampil untuk bertanding.


“Syukur Alhamdulillah untuk tiga jawatan utama bahagian tiada sebarang pertandingan walaupun kita telah buka untuk semua.


“Setinggi-tinggi penghargaan saya ingin ucapkan atas semangat setiakawan rakan semua memilih tiga jawatan tertinggi Umno Bagan Datuk tidak dipertandingkan pemilihan kali ini.


“Kami akan meneruskan perjuangan dengan memikul tanggungjawab sebaik mungkin dalam memastikan kecemerlangan Umno Bagan Datuk,” katanya kepada Sinar Harian.


Shahrul Zaman juga mengingatkan kepada calon bertanding merebut beberapa jawatan lain dalam pemilihan Umno Bahagian Bagan Datuk agar bertanding dengan penuh semangat kekeluargaan.


Menurut Shahrul Zaman dua lagi jawatan iaitu Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Umno Bagan Datuk akan dipertandingkan pada pemilihan bahagian kali ini.


Buat masa ini Ketua Pemuda Umno Bagan Datuk disandang Dr Nik Mohamamad Azli Nik Ariffin manakala Ketua Wanita Umno Bagan Datuk pula dipangku Zarozatin Isa selepas kematian penyandangnya Aminah Abdul Manaf pada Mei 2016.


Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bagan Datuk, Rohana Tarmidzi kekal menyandang jawatan sama selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan bahagian kali ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]