Bekas gerila angkat sumpah PM baharu Timor Leste

in Global by


DILI – TIMOR LESTE. Bekas pejuang gerila, Taur Matan Ruak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini untuk membentuk kerajaan baharu Timor Leste, selepas krisis politik berpanjangan melumpuhkan negara itu.


Ruak mengetuai kerajaan kedua dalam masa kurang setahun di negara terkecil di Asia Tenggara itu yang meraih kemerdekaan pada 2002, selepas penjajahan 24 tahun oleh Indonesia.


Jose Maria Vasconcelos, lebih dikenali askarnya sebagai, Taur Matan Ruak bermaksud ‘dua mata yang tajam.


Ruak adalah komander dalam penentangan warga negara itu, sebelum menjadi ketua tentera negara baru merdeka terbabit. Beliau turut berkhidmat sebagai Presiden 2012 dan 2017, namun hanya memainkan peranan rasmi.


Januari lalu, parlimen negara itu dibubarkan ekoran ketegangan antara kerajaan minoriti bekas Perdana Menteri, Mari Alkatiri dan pembangkang disebabkan pertikaian dengan wira kemerdekaan, Xanana Gusmao. Pakatan Gusmao berjaya meraih majoriti mutlak dalam pilihan raya Mei lalu.


Kerajaan baharu Ruak terdiri daripada anggota Kongres Pembinaan semula Rakyat Timor Lestu yang diketuai Gusmao (CNRT), ahli Parti Pembebasan Rakyat (PLP) dan badan belia, Khunto.


“Kerajaan saya akan membawa masyarakat dan rakyat kita ke masa depan yang lebih baik,” kata Ruak.


Bagaimanapun, pentadbiran baharu menghadapi cabaran besar, ketika simpanan minyak dan gas semakin berkurangan dan negara itu tidak mempunyai banyak sektor ekonomi produktif lain.


Usaha menyediakan pekerjaan kepada golongan muda dan mengimbangi perbelanjaan kerajaan terutamanya membabitkan projek infrastruktur besar dijangka menjadi tugas utama kerajaan baru, kata penganalisis. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]