Dalang serangan kafe di Jakarta dihukum mati

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. Ulama Indonesia, Aman Abdurrahman dijatuhi hukuman mati, hari ini selepas mahkamah mendapati beliau terbabit dalam serangan pengebom berani mati disyaki anggota militan Daesh di sebuah kafe Starbucks di Jakarta, pada 2016.


Pasukan polis bersenjata mengawal ketat prosiding Abdurrahman di mahkamah Jakarta yang mendapatinya bersalah sebagai perancang utama serangan yang mengorbankan empat mangsa, ia merupakan serangan pertama yang diakui militan Daesh di Asia Tenggara.


“Defendan telah terbukti melakukan jenayah keganasan dan akan dijatuhi hukuman mati,” kata Hakim Akhmad Jaini, yang turut membacakan pembabitan Aman dalam beberapa siri serangan lain yang menyumbang kepada hukuman berkenaan.


Abdurrahman, yang dikelilingi pasukan keselamatan bersenjata kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan.


Peguam tertuduh, Asludin Hatjani menganggap hukuman tersebut sebagai tidak adil berikutan kekurangan bukti yang mengaitkan Abdurrahman dengan serangan berdarah itu.


Serangan dua tahun lalu di Jakarta menyaksikan pasukan keselamatan bertempur dengan militan bersenjata berhampiran sebuah kafe di mana seorang pengebom berani mati meletupkan diri.


Dipercayai berusia 46 tahun, defendan dianggap ketua ‘de facto’ semua penyokong militan Daesh di Indonesia dan turut berperanan sebagai pemimpin agama rangkaian militan tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD).


JAD didakwa terlibat dalam serangan pada tahun 2016 di Jakarta serta siri serangan pengebom bunuh diri di beberapa gereja dan balai polis di Surabaya bulan lalu yang meragut 13 nyawa. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]