Ditemui mati selepas hilang sejak Isnin

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang Isnin lalu ditemui mati di lereng bukit, di Taman Evergreen Height, di sini, oleh seorang pekerja kebun sayur, petang semalam.


Terdahulu isteri mangsa, Koh Yiew Lee, 62, membuat laporan kehilangan suaminya, Loo Cheong Fei, 60, pada Isnin lalu selepas tidak pulang daripada berjoging seperti biasa sekitar jam 9 pagi.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa yang menghidap penyakit alzheimer dan parkinson itu dikatakan keluar berjoging semasa hari kejadian.


Menurutnya, siasatan yang dilakukan melalui rakaman CCTV turut menyaksikan mangsa ada keluar berjoging dengan memakai baju merah dan bertopi hitam.


“Usaha mencari dijalankan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu oleh orang awam seramai 20 orang.


“Operasi dijalankan di sekitar Taman Evegreen Heights dan kawasan kebun sayur berhampiran yang keluasan kawasan carian sekitar 10 kilometer. Bagaimanapun usaha berkenaan menemui jalan buntu dan operasi dihentikan sementara kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan termasuk hujan lebat,” katanya.


Abdul Wahib berkata, bagaimanapun pada jam 6.50 petang semalam, seorang pekerja kebun sayur telah menemui mayat lelaki di kawasan berkenaan.


Katanya, siasatan mendapati keadaan mayat yang ditemui menyerupai laporan orang hilang sebelum ini.


“Keadaan mangsa lengkap berpakaian seperti mana sewaktu mangsa keluar dari rumah pada Isnin lalu.


“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah. Mangsa dipercayai terjatuh dari cerun bukit tersebut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]