Ibarat pertandingan adik-beradik

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Pemilihan kepimpinan sayap Umno bahagian dijadual berlangsung esok bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi merebut jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Puchong.


Penyandangnya, Hasnah Dain, 54, bakal ditentang Ketua Wanita Umno Cawangan Taman Seri Serdang 2, Rose Maria Mansor,41 dan ahli jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Puchong, Sabrina Sukirman, 49.


Hasnah sebelum ini menggalas jawatan tersebut selepas mengalahkan penyandang sebelumnya, Ainon Imbi.


Beliau ketika dihubungi berkata, mempunyai keyakinan tinggi kemenangan berpihak kepadanya namun menyerahkan kepada ALLAH bagi menentukan segalanya.


“Saya baru pegang jawatan ini sepenggal, hanya sebahagian misi dan visi dapat dicapai, belum dapat dilaksana sepenuhnya tapi banyak masalah wanita di peringkat cawangan dah diselesaikan dan pelbagai aktiviti dibuat.


“Kali ini kena pastikan mana yang kurang ditambah dan kesilapan lama diperbetul untuk kuatkan Umno. Saya yakin boleh menang kerana sudah bekerja dari awal,”katanya yang berharap tiada isu politik wang pada pemilihan kali ini.


Bagi Rosmaria, Umno perlukan nafas baharu untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat sekali gus membina semula parti itu.


“Saya berazam untuk susun gerak langkah wanita, atur program yang benar-benar memberi sesuatu kepada rakyat dan kuatkan semula pergerakan dari segi khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya.


Manakala Sabrina yang merupakan seorang usahawan pula bertekad mahu menyatukan ahli yang berpecah-belah kerana wujudnya banyak ‘kem’ pada pemilihan lalu.


“Saya nak bangkitkan kembali semangat dalam kalangan ahli wanita kerana ramai yang murung selepas BN tewas pada PRU14.


“Malah menjadi hasrat saya nak bantu tambah ekonomi wanita terutama dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya.


Bagi jawatan pemuda pula bakal berlaku pertembungan dua penjuru apabila Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamad bakal menentang Ketua Penerangan Umno Bahagian Puchong, Kamsani Kamarudin.


Penyandang jawatan Ketua Pemuda, Azmir Yuzaimi Mohd Yunus dan Timbalannya, Mohd Zaki Mohd Zaki Md Yusoff tidak bertanding kerana sudah tamat tempoh had umur.


Khairul Azmil berkata, beliau tidak ingin menjanjikan bulan dan bintang kepada ahli pemuda namun bertekad menggunakan segala pengalaman dan tenaga yang ada untuk membantu memperkukuhkan parti keramat itu.


Katanya, beliau akan menghidupkan semula pemuda Umno terutama di cawangan yang tidak mempunyai sayap itu.


“Saya nak jadikan Umno seperti satu ketika dulu yang mana bila berkompang, bermarhaban, jadi penanggah malah mandi jenazah pun semuanya dalam kalangan orang Umno.


“Kita mahu bantu rakyat dan masyarakat dari semua segi supaya Umno dipandang tinggi seperti sebelum ini,” katanya.


Kamsani yang juga Ketua Cawangan Seri Aman Hilir pula berkata, dalam Umno ibarat bertanding secara adik-beradik, setiap calon ada misi masing-masing namun tetap sama untuk memantapkan dan memperkasa jentera pemuda.


“Pemuda adalah penentu undi, selaku calon saya ingin bawa pemuda kepada pembaharuan tetapi cara berjuang seperti Umno mula-mula wujud, berjuang demi agama bangsa dan tanah air walaupun terpaksa berkorban masa, tenaga kerana kena akui Umno kini bukan lagi kerajaan


“Pemuda kena lebih agresif tampil ke depan bagi buktikan jentera kita masih kuat sekalipun bukan dalam kerajaan tapi perkhidmatan masih terus di laksanakan,’katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia politik sejak 16 tahun lalu.


Sementara itu, jawatan Ketua Puteri Umno Puchong kekal disandang Azirah Yahyah.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]