Kecewa bahu jalan jadi tempat buang sampah

in Edisi by


TANAH MERAH – Pengguna jalan raya yang melalui laluan alternatif di Kampung Chat Rimau, di sini, kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab menjadikan bahu jalan di kawasan itu sebagai tempat pembuangan sampah selepas sambutan Aidilfitri lalu.


Tindakan itu menunjukkan sikap mereka tidak mempedulikan larangan membuang sampah menerusi papan tanda yang dipasang Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) di kawasan berkenaan.


Selain menimbulkan pemandangan kurang menyenangkan, timbunan sampah itu mengeluarkan bau busuk hingga menganggu keselesaan pengguna jalan raya.


Seorang pengguna jalan, Rosli Ismai, 57, berkata, kawasan itu sudah dibersihkan dan ditutup sebagai tempat pelupusan sampah sejak 20 tahun lalu.


“Namun ketika memandu menggunakan laluan ini, saya terkejut melihat timbunan sampah sarap memenuhi semula bahu jalan berkenaan dipercayai sisa buangan selepas Aidilfitri lalu.


“Sikap segelintir masyarakat membuang sampah di kawasan itu tidak sepatutnya berlaku kerana papan tanda larangan sudah diletakkan di situ,” katanya.


Bagi Amira Atikah Saadullah, 32, dia mahu pihak berkuasa tempatan meningkatkan pemantauan dan bukan hanya sekadar meletakkan papan tanda larangan bagi memastikan laluan di kawasan itu tidak dijadikan tempat pembuangan sampah.


“Kita khuatir pihak yang tidak bertanggungjawab semakin berani dan terus membuang sampah di situ jika tiada penguatkuasaan lebih tegas diambil.


“Mereka seperti tidak endah malah membuang sampah sesuka hati. Perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]