Lawatan kerja Mat Sabu di Lubnan

in Nasional by


LUBNAN – Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu selamat tiba di Lapangan Terbang Rafiq Hariri di Lubnan bagi lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan serta delegasi Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung mulai 20 sehingga 24 Jun 2018.


Lawatan kerja rasmi ini dilaksanakan bersempena lawatan ulung beliau ke Lubnan dan Majlis Penyerahan pengangkut berperisai baharu (APC) Guardian kepada pasukan Batalion Malaysia (Malbatt).


Dalam satu kenyataan, kehadiran Mohamad turut diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Junaidah Kamarrudin, Panglima Angkatan Bersama, Datuk Mohd Reza Mohd Sany serta delegasi telah melawat residensi Duta Besar Malaysia ke Lubnan iaitu TYT Mohd Aznor Mahat, semalam.


Kemudian, Mohamad telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Lubnan, Yacoub Riad Al Sarraf di bangunan Kementerian Pertahanan Lubnan.


Dalam rangka jadual lawatan hari ini, beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu bersama delegasi telah tiba di UNP 2-1, Kem Marakah.


Beliau telah menerima tabik hormat semasa Perbarisan Menteri dan seterusnya merasmikan penyerahan sembilan buah APC Guardian kepada Malbatt.


Acara diteruskan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Warga Malbatt 850-5 bertempat di Dewan Jun Sang, Kem Marakah.


Dalam hari yang sama juga, YB MENHAN telah membuat kunjungan hormat kepada Komander UNIFIL, Mejar Jeneral Michael Beary bertempat di Markas Unifil di Naqoura sebelum meneruskan acara sambutan raya di Kem Tibnin.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]