Peluang hantar anak ke kelas tuisyen percuma

in Edisi Selangor KL by


KALUMPANG – Pejabat Adun Hulu Bernama meneruskan perkhidmatan tuisyen secara percuma  kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Adun Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar berkata, kelas tuisyen di tingkat atas pejabatnya itu dijalankan sejak empat tahun lalu membabitkan pelajar di sekitar Kalumpang, Hulu Bernam dan Selisek.


Menurutnya, tuisyen dikendalikan beberapa tenaga pengajar berpengalaman untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.


“Tiada sebarang bayaran walaupun RM1 dikenakan dan tuisyen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hantar anak mereka.


“Inisiatif ini bertujuan meringankan ibu bapa kerana mungkin ada di antara mereka yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak ke tuisyen berbayar.


“Alhamdulillah hasilnya kita lihat ramai dalam kalangan pelajar ini yang mendapat keputusan baik dalam peperiksaan tersebut,” katanya.


Rosni berkata, beliau berharap agar ibu bapa yang mempunyai anak bagi peperiksaan utama mengambil peluang memanfaatkan tuisyen percuma ini.


Menurutnya, tuisyen tambahan sedemikian dapat mempertingkatkan pemahaman pelajar mengenai sesuatu subjek secara lebih mendalam selain pembelajaran di sekolah.


“Guru yang mengajar semuanya pakar dan berpengalaman dalam penyediaan kertas soalan yang saya rasa sangat membantu pelajar,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]