Program debat calon presiden tonjol keterbukaan Umno

in Politik by


KULAI – Cadangan program debat calon presiden Umno secara umum tidak akan mendatangkan keburukan sebaliknya menunjukkan parti itu mengamalkan sifat keterbukaan.


Calon presiden Umno yang juga Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berpendapat program itu dapat memberi peluang kepada calon-calon mengemukakan hala tuju dan idea mereka dalam usaha melakukan pembaharuan kepada Umno.


“Keputusan saya dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menghadiri debat calon presiden Umno dilihat sebagai negatif seolah-olah mendedahkan kepada orang ramai isu keluarga ‘dalaman’ parti.


Namun, secara positifnya debat ini hendak menunjukkan bagaimana idea saya dan Ku Li mampu mengembalikan keyakinan rakyat, kalau kita masih di takuk lama tidak mahu keterbukaan, rakyat tidak akan hormati kita (Umno),” katanya.


Khairy berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Adun Permai Ali Mazat Salleh di kediamannya di sini, hari ini.


Semalam calon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menolak cabaran debat itu kerana berpendapat isu dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara umum.


Hari ini pula Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan sebagai berkata debat  itu tidak perlu dilakukan secara umum kerana membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada parti.


Khairy dan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dijadualkan muncul pada program ‘Debat Presiden Umno’ selama sejam yang dijadualkan pada 9.30 malam 29 Jun ini di Astro Awani. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]