‘Saya tidak mahu susahkan keluarga’

in Edisi Selangor KL by


KAJANG – “Memang aku rindu mereka tapi ini semua salah aku juga sebab angkuh dan bongkak dahulu.” Begitulah luahan seorang penghuni di Pusat Jagaan Al Fikrah, Bob, 50, yang menjadi penghuni di sini sejak kira-kira dua tahun lalu.


Menurut Bob, pada tahun ini, dia menyambut kehadiran lebaran bersama penghuni-penghuni lain di pusat jagaan tersebut seperti biasa walaupun tidak dapat merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarganya yang lain.


“Saya memang sudah biasa sambut Hari Raya begini sebab kawan-kawan di sini sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan dan memberi keceriaan buat saya.


“Walaupun tanpa ahli keluarga, namun saya tetap gembira dapat bersama-sama mereka untuk meraikan 1 Syawal,” katanya.


Mengimbau kembali kenangannya di pusat jagaan itu, Bob berkata, dia sendiri memilih untuk menetap di sana tanpa paksaan daripada mana-mana pihak berikutan memerlukan perhatian dan enggan untuk menyusahkan ahli keluarga yang lain.


Menurut Bob, penyakit buah pinggan, paru-paru dan kencing manis yang dihidapinya sejak 15 tahun lalu telah memaksanya untuk menetap di pusat jagaan tersebut bagi mendapatkan perhatian yang lebih baik serta tidak menyusahkan mana-mana pihak.


“Sehingga kini saya masih mendapatkan rawatan bagi penyakit ini. Namun saya tidak mengeluh kerana sakit adalah penghapus dosa jadi saya menerimanya dengan hati terbuka dan reda.


“Saya tahu jika saya berada di luar, pastinya ramai orang akan terbeban dengan keadaan kesihatan saya tambahan pula saya masih bujang. Dan disebabkan itu saya dengan rela hati datang sendiri ke pusat jagaan ini,” katanya.


Ketika ditanya mengenai ahli keluarganya, Bob kelihatan sebak dan menceritakan mengenai liku-liku kehidupan yang dilaluinya selama ini sehingga turut dibuang oleh darah daging sendiri dan terpaksa hidup bersendirian.


Bob berkata, dia sudah tidak bertemu dengan ahli keluarganya sejak 20 tahun lalu namun dia enggan untuk mendedahkan mengapa dirinya dibuang sehingga kehilangan kasih sayang daripada adik beradik serta ibu bapa sendiri.


“Ibu bapa dan empat adik beradik yang lain masih ada namun aku sudah lama tidak berjumpa mereka dan semua ini terjadi bersebab.


“Bila aku ada duit dulu, aku berlagak, angkuh dan sombong. Akhirnya bila ALLAH tarik balik semua kesenangan itu, aku bukan sahaja hilang harta benda tapi juga ahli keluarga sendiri,” katanya.


Menurut Bob, sewaktu hidupnya mewah suatu ketika dahulu, ramai rakan-rakan berada di sekelilingnya namun kini dia hanya hidup bersendirian selepas kehilangan semua kesenangan yang dipinjamkan oleh ALLAH.


“Mungkin ini adalah kifarah yang saya terima selepas apa yang saya lakukan sebelum ini. Bila ada duit, kita lupa diri sehingga ahli keluarga sendiri pun terluka dan buang kita dari hidup mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Bob bersyukur pengurusan pusat jagaan tersebut sanggup menjaganya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]