Siasatan terhadap 1MDB hampir selesai

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Abu Talib Othman menyatakan beberapa siasatan yang dijalankan terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu hampir selesai.


Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas ketuanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah memberi taklimat mengenai penemuan terbaharu mereka.


“Mereka memberi taklimat kepada kami mengenai status siasatan mereka yang berterusan.


“Ia sedang berjalan dengan lancar dan siasatan kes hampir selesai, (diserahkan) ke Jabatan Peguam Negara untuk perhatian mereka,” katanya ketika meninggalkan Menara Ilham.


Beliau berkata demikian selepas bertemu Mohd Shukri Abdull dan Abu Kassim Mohamed.


Beliau turut mengesahkan siasatan yang hampir selesai itu termasuklah ke atas SRC International.


Dalam pada itu, Abu Talib berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai kehilangan saksi utama iaitu ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dan bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.


Katanya lagi beliau tidak dapat memastikan bilangan mereka yang terlibat dalam salah laku terbabit.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]