Tak perlu debat calon secara umum: Annuar

in Nasional by


SHAH ALAM – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, debat antara calon presiden parti tidak perlu dijalankan secara umum.


Katanya, ia dikhuatiri hanya akan mendedahkan pelbagai perkara dalaman yang sensitif.


“Pemilihan jawatan dalam parti adalah urusan dalam keluarga Umno. Oleh yang demikian banyak perkara tidak harus terdedah kepada musuh.


“Debat secara umum adalah aktiviti yang baik. Kita (Umno) bersikap terbuka tetapi keterbukaan itu mesti dalam kerangka yang tidak memudaratkan perjuangan (parti),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Veteran Umno Tengu Razaleigh sebelum ini menyatakan kesediaan berdebat dengan dua lagi calon presiden Umno, Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit.


Khairy Jamaluddin selepas itu menyahut cabaran untuk berdebat itu berkata, penyediaan ‘gelanggang’ sedemikian perlu dibuat supaya harmoni dengan semangat pemilihan dalam keluarga.


Namun begitu, Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat tiada keperluan untuk mengadakan debat menjelang pemilihan parti itu.


Menurut beliau, parti itu tidak perlu mengikut sistem parti Demokrat atau Republikan di Amerika Syarikat dengan mengadakan perdebatan antara calon-calon presiden.


Mengulas lanjut, Annuar berkata mesej dan visi calon perlu sampai kepada mereka yang membuat keputusan dan debat awam bukanlah satu-satunya cara untuk mencapai matlamat tersebut.


“Jika kita bertindak berlebihan dibimbangi hanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada parti,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]