Bekalan darah jenis O negatif HTAR mencukupi

in Nasional by


SHAH ALAM –  Kenyataan di media sosial berhubung dakwaan seorang waris pesakit bahawa bekalan darah jenis O negatif semakin berkurangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang adalah tidak benar.


Pengarah HTAR Klang, Dr Mohamad Sabri Othman berkata, hasil siasatan mendapati bekalan darah jenis O negatif pada ketika ini adalah mencukupi.


Menurutnya, pihaknya telah membekalkan keperluan bekalan darah yang mencukupi kepada pesakit tersebut.


“Darah jenis O negatif adalah dikategorikan sebagai kumpulan darah jarang ditemui.


“Oleh itu, semua tabung darah tidak menyimpan stok yang banyak pada satu-satu masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Mohamad Sabri berkata, stok yang sedia ada adalah mencukupi untuk kegunaan semasa kecemasan.


Katanya, HTAR juga mempunyai senarai penderma darah berkenaan untuk dipanggil pada bila-bila masa terutamanya pada waktu kecemasan.


“Kami memandang serius isu ini dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu tersebut dan menyeru berhenti menyebarkannya kepada orang lain,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]