Cadangan kementerian wajar: Fomca

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Sumber Manusia menetapkan semua restoran di negara ini hanya guna khidmat tukang masak tempatan mulai 1 Julai adalah tindakan wajar.


Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan itu mampu menyelesaikan masalah yang pernah timbul sebelum ini terutama dari aspek kebersihan.


“Kita amat sokong langkah diambil kementerian  kerana kalau kita lihat sekarang, memang banyak restoran mengambil pekerja warga asing sebagai tukang masak kerana masalah kos.


“Tapi, sekiranya pekerja tempatan yang bekerja, ia sedikit sebanyak menjamin kebersihan, apatah lagi menu dihasilkan juga adalah masakan tempatan,” katanya.


Beliau bagaimanapun berkata, dalam melaksanakan dasar itu,  kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap faktor penguatkuasaan.


“Kita juga tidak mahu dasar kerajaan ini boleh menimbulkan masalah kepada restoran-restoran ini dan mereka perlu diberi tempoh sewajarnya.


“Tapi dalam masa sama, penguatkuasaan lebih tegas perlu diambil, selain pengguna turut memainkan peranan kerana kita tahu kekangan kerajaan untuk memantau semua restoran yang ada di negara ini,” katanya.


Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.


Bagaimanapun, semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan bekerja di restoran mereka sebelum peraturan baharu itu dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]