Calon dakwa pemilihan sayap Umno tidak telus

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Beberapa calon mendakwa proses pengundian bagi pemilihan sayap Umno Bahagian Kemaman yang berlangsung hari ini terpalit dengan ketidaktelusan dan penipuan.


Calon Ketua Pemudanya, Mohd Zammil Mohd Zuslaini berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Umno pusat agar ia tidak berulang semasa pemilihan peringkat bahagian minggu depan kerana pemilihan itu lebih penting demi survival parti itu pada masa hadapan.


Beliau mendakwa, ketika proses pengundian terdapat individu yang bertindak mempengaruhi perwakilan untuk mengundi calon tertentu selain ada juga individu menandakan banyak kertas undian.


“Kami ada bukti dalam bentuk rakaman video dan foto berlaku ketidaktelusan dalam proses pemilihan itu termasuk turut berlaku pemaksaan ketika pengundian berlangsung.


“Bagi mengelak kekecohan berlaku semasa pengundian, kami cuma ambil video dan gambar. Kami mungkin akan buat bantahan selepas ini melalui bukti-bukti yang ada,” katanya pada sidang media untuk mendedahkan ketidaktelusan dalam proses pemilihan itu, di sini.


Turut hadir, calon ketua Wanita, Norzamziah Afzainizam dan calon ketua Puteri, Tuan Noraishah Tuan Puteh.


Katanya, dalam keadaan Umno sekarang berkeadaan ‘rapuh’ selepas mengalami kekalahan teruk pada PRU14 lalu seharusnya pemilihan berlangsung dengan bersih kerana parti itu memerlukan pembaharuan secara total.


Sementara itu, calon Ketua Umno Bahagian Kemaman, Mat Dalam Awang mendakwa, ketidaktelusan itu bukan perkara baharu kerana ia sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.


“Sebelum ini kita tak nak perpecahan berlaku dalam parti sebab itu perkara ini tidak diperbesarkan namun dalam keadaan Umno berkeadaan tenat sekarang kita perlu ambil tindakan,” katanya.


Tambahnya, sekiranya keadaan itu tidak dibendung, tidak mustahil  ramai ahli di peringkat cawangan bertindak keluar parti.


“Saya juga berharap biarlah proses pengundian pemilihan peringkat bahagian minggu depan dikendalikan 100 peratus oleh Badan Perhubungan Umno Terengganu dan wakil majlis tertinggi.


“Jika perkara sebegini perlaku dalam pemilihan pemuda dan wanita, tidak mustahil perkara serupa turut berlaku dalam pemilihan peringkat bahagian” katanya lagi.


Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sepatutnya calon yang tidak berpuas hati perlu membuat bantahan ketika proses pengundian berjalan.


“Tak elok dah selesai pengiraan baharu nak berbunyi malah tadi diumumkan jika ada yg nak mengemukakan bantahan.


“Malah kalau bantahan diibuat semasa pengundian tidak dilayan oleh pihak jawatankuasa pengundian saya sendiri akan mengambil tindakan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]