Dulu hotel sekarang di gelanggang

in Edisi Utara by


LAUNGAN keramat ‘Hidup Umno’ sebanyak tiga kali bergema di gelanggang futsal di Dewan JKKK Kampung Bujang di mana berlangsungnya Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Merbok.


Laungan oleh Mantan Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin itu diikuti 38 perwakilan yang menyertai persidangan kali ini dengan penuh bersemangat.


Menurutnya, buat pertama kali sejak beliau menyertai parti itu, persidangan perwakilan terpaksa dianjurkan di gelanggang futsal dengan serba kekurangan.


“Sebagai seorang ketua, saya perlu mulakan proses tarbiah, proses muhasabah, nak bagitau anak-anak muda, aktivis pemuda di depan saya ini bahawa kita dah jadi pembangkang, kita kena letak semua keselesaan yang kita pernah kecapi selama ini.


“Kita kena mesyuarat di gelanggang futsal dan inilah langkah kanan pertama kita sebagai sebuah parti pembangkang,” katanya ketika menyempurnakan ucapan penangguhan sempena persidangan berkenaan.


Shaiful Hazizy yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Kedah mengakui kebimbangan terhadap perkara itu sekiranya Umno sendiri tidak dapat mengadaptasikan diri sebagai pembangkang.


“Dulu kita bermesyuarat dalam keadaan selesa, kita cukup kuat, kita bermesyuarat di hotel dan di dewan yang dipunyai kerajaan pada waktu itu, penuh kelengkapan penghawa dingin dan sebagainya,” katanya.


Jelasnya, biarpun sukar dan pedih, namun Umno harus terus bangkit serta melakukan 100 peratus perubahan untuk kekal relevan pada PRU akan datang.


Beliau dalam masa sama mengakui kesilapan pemimpin menyembunyikan kebenaran akhirnya menyebabkan rakyat menolak Umno.


“Daripada 70 cawangan sebelum ini, hari ini kita ada 38 perwakilan sahaja yang aktif dan layak untuk menyertai pemilihan, walaupun kebenaran itu pedih tetapi inilah kebenaran yang saya sembunyikan selama ini,” katanya.


Beliau turut  menyokong perjuangan Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok yang baharu, Muhammad Nur Aizat Noor Azlan termasuk semua ahli jawatankuasa baharu yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini.


Selain Pergerakan Pemuda, jawatankuasa Wanita dan Puteri Umno Bahagian Merbok juga diumumkan menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.


Ketua Wanita Umno Bahagian Merbok, Hapsoh Ahmad berjaya mempertahankan jawatannya manakala Sabarina Mansor menang tanpa bertanding sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Merbok baharu.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]