Ekmal menang Ketua Pemuda Umno Bahagian Bentong

in Edisi Pahang by


BENTONG – Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Bentong, Datuk Ekmal Hamid berikrar untuk mengembalikan kepercayaan golongan muda kepada Umno selepas dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Bentong yang baharu, semalam.


Menurutnya, banyak yang perlu dilakukan untuk menarik kembali sokongan golongan muda kepada Umno dengan menjadikan parti itu bersifat lebih inklusif.


“Umno tidak lagi dianggap eksklusif, kerana persepsi itulah punca golongan muda menjauhkan diri daripada kita. Jadi, kita harus buktikan kepada orang muda bahawa Umno sentiasa bersama mereka.


“Saya akan berjumpa dengan 42 Umno cawangan di Bentong kerana niat saya untuk menyatukan semua ahli-ahli pemuda Umno di daerah ini dan saya sesekali tidak akan pinggirkan pemuda-pemuda Umno di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada sidang media Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong Gugusan Mempaga, di sini hari ini.


Ekmal berkata pihaknya akan turun padang bertemu semula dan beramah mesra dengan pemuda di daerah ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan pemimpin tempatan dan masyarakat.


“Saya akan gunakan konsep ‘personal touch’ bagi selami dan fahami permasalahan dan menghimpunkan idea yang ingin disampaikan bagi menambah baik parti,” katanya.


Pertandingan satu lawan satu dalam merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Bentong itu telah dimenangi Ekmal yang memperoleh 135 undi menewaskan Idris Abdol Talib yang hanya mendapat 75 undi.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]