Elaun empat YB BN Besut dipotong

in Edisi Terengganu by


BESUT – Empat wakil rakyat BN Parlimen Besut mengambil keputusan menyumbang elaun bulanan masing-masing sebanyak RM1,000 sebulan kepada Umno Bahagian Besut  bermula Julai.


Wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan tiga Adun iaitu Nawi Mohamad (Hulu Besut), Datuk Muhammad Pehimi Yusof (Jertih) dan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.


Menurut Nawi, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa bahagian yang diadakan baru-baru ini.


“Langkah ini dibuat untuk membantu kewangan bagi pengurusan parti selepas BN tewas pada PRU14  dan ini adalah pengorbanan kami kerana selama ini Umno banyak membantu pemimpin untuk memenangi pilihan raya berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, di sini, hari ini.


Nawi berkata lagi, kesemua empat wakil rakyat terbabit yang menang pada PRU14 perlu mengambil tanggungjawab itu dan mengorbankan sedikit kewangan bagi menampung pengurusan parti.


Menerusi PRU14 lalu, BN Besut hanya gagal mempertahankan kerusi  Dun Kota Putera apabila penyandang Mohd Mahdi Musa tewas kepada calon Pas, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.


Dalam perkembangan lain, Nawi memuji langkah kerajaan negeri pimpinan Pas yang membenarkan Umno terus menggunakan dewan MDB milik kerajaan negeri untuk mengadakan mesyuarat perwakilan Umno.


Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan baharu, matang dan berhemah dalam pentadbiran negeri.


Tambah Nawi lagi, Idris telah diberi tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Kota Putera bagi menggantikan Mohd Mahdi yang melepaskan jawatan tersebut.


“Idris diyakini mampu memulihkan semangat ahli kerana beliau sendiri tidak lagi menawarkan diri dalam apa juga jawatan parti di semua peringkat selain kini hanya sebagai Ketua Umno Cawangan Seberang Jertih,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]