Hanafi lepas jawatan Ketua Umno Pasir Mas

in Politik by


PASIR MAS – Selepas empat dekad menabur bakti dalam Umno, Datuk Hanafi Mamat secara rasminya melepaskan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, semalam.


Hanafi berkata, tindakannya untuk tidak mempertahankan jawatan itu dibuat bagi memberikan laluan kepada muka-muka baharu untuk memberi khidmat kepada parti diperingkat Bahagian Pasir Mas bagi penggal 2018-2021.


“Saya fikir sudah lama diri ini memberikan khidmat kepada parti sejak Disember 1978 lagi dengan menggalas pelbagai jawatan samaada peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri.


“Jadi inilah saat-saat terbaik untuk memberi ruang dan peluang kepada tenaga-tenaga baharu untuk terus memperkasakan parti,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pasir Mas di sini, semalam.


Menurutnya, beliau berharap kepimpinan baharu yang diberi mandat untuk menerajui Umno Bahagian Pasir Mas terus istiqamah dalam perjuangan untuk memastikan parti itu kembali mendapat tempat di hati rakyat.


Katanya, bukan itu sahaja kepimpinan baharu ini turut diingatkan supaya ikhlas dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.


“Ini adalah medan terbaik untuk Umno kembali bangkit,” katanya.


Hanafi yang juga Setiausaha Umno negeri berkata, ahli parti perlu terus mempamerkan komitmen dan kesetiaan penuh kepada parti.


Katanya, Umno merupakan sebuah parti yang masih lagi kukuh walapun gagal membentuk kerajaan pada PRU14 lalu.


“Saya yakin Umno akan bangkit dan kita perlu ubah budaya politik dengan menjadi pembangkang yang berkaliber.


“Bukan itu sahaja, kita juga perlu memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengambil kira setiap masalah yang diajukan oleh mereka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]