
PKNP berazam membawa pulang kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Piala FA berdepan Pahang di Stadium Darulmakmur, malam ini.
Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, semua pemain PKNP diingatkan memberi aksi terbaik demi merealisasikan misi melakar kejayaan di bumi Kuantan berkenaan.
Justeru menurutnya, pemain diharap dapat mengikuti segala percaturan taktikal direncanakan sepanjang sesi latihan sebelum ini.
“Kita sedar kita berdepan dengan pasukan yang kuat seperti Pahang dan bermain di gelanggang lawan.
“Kita akan beri tentangan sengit kepada lawan tanpa mengira rekod cemerlang mereka supaya kita ada baki perlawanan yang bermakna separuh akhir kedua kelak,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Abu Bakar berharap pemain yang mengalami kecederaan sempat pulih bersedia bagi mengharungi aksi separuh akhir yang dijangka sengit.
Justeru katanya, kesebelasan pemain diharap bersedia sepenuhnya untuk memulakan saingan berdepan skuad Tok Gajah itu.
“Kesemua pemain diharapkan bersedia untuk perlawanan malam ini.
“Kekal fokus di sepanjang perlawanan dan elakkan membuat kesilapan mudah,” katanya.
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]