
MACHANG – Sikap pemandu yang mudah hilang sabar, gopoh dan mementingkan diri sendiri antara punca utama menyebabkan kemalangan jalan raya yang akhirnya membawa maut.
Ia juga termasuk tidak merancang perjalanan dengan betul dan tidak rehat dengan cukup sehingga mengganggu konsentrasi ketika pemanduan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintenden S. Markandan berkata, sikap pemandu atau penunggang antara pendorong utama kemalangan berlaku yang mana berpunca daripada terbabas, masuk laluan bertentangan, serta cubaan memotong kenderaan.
“Ada juga daripada faktor lain, namun sikap pemandu mencatatkan peratusan tertinggi apabila mereka gagal mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
“Ia dapat dilihat dengan jelas apabila kesalahan pandu laju merekodkan sama tertinggi bagi Ops Selamat 13/2018 yang bermula 8 hingga semalam dengan 1,965 saman diikuti dengan kesalahan tiada lesen dengan 1,085 saman,” katanya kepada pemberita selepas Ops Selamat 13/18 yang disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Trafik IPK Kelantan di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labok di sini, malam tadi.
Lebih 30 bas dan pemandu diperiksa bagaimanapun tiada saman dikeluarkan dalam operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam tadi.
Tambah Markandan, sebanyak 7,151 saman telah dikeluarkan sepanjang tempoh operasi tersebut namun usaha penguatkuasan itu tidak akan berjaya jika pengguna jalan raya gagal menjadi pemandu berhemah dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Katanya, sebanyak 23 kemalangan maut direkodkan pada Ops Selamat 13 ini dengan 28 kematian dan Daerah Kota Bharu merekodkan jumlah kemalangan tertinggi.
Tambahnya, Jumlah kematian tersebut meningkat sebanyak lapan orang berbanding Ops Selamat 11/2017 yang lalu .
“Kematian akibat kemalangan jalan raya ini didahului oleh pemandu dan penumpang kereta dengan 21 kes diikuti oleh penunggang dan pembonceng motosikal dengan 16 kes, bas (1) , lori (1) dan treler 1 kes.
” Pihak kami akan meneruskan penguatkuasaan dan kempen bagi meningkatkan kepekaan serta kesedaran pengguna jalan raya. Saya juga berterima kasih kepada semua anggota yang bertugas tanpa mengira masa sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan pengguna jalan raya tiba ke destinasi masing-masing dengan selesa dan selamat,” katanya.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]