Pulau Pinang, Kedah bincang isu pembalakan Ulu Muda

in Nasional by


GEORGETOWN – Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kedah dan Kerajaan Persekutuan berhubung isu pembalakan di Ulu Muda di Kedah, yang merupakan ancaman kepada kawasan tadahan air di Empangan Muda di situ.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda yang menyalurkan air ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu semakin mengecil dan jika isu pembalakan tidak diatasi segera, ia akan menyebabkan tiga negeri berkenaan menghadapi risiko krisis air serantau.


“Ulu Muda merangkumi 163,103 hektar hutan hujan di Kedah yang menadah 96 peratus air mentah Kedah, 70 peratus air mentah Perlis dan lebih 80 peratus air mentah yang telah di abstrak oleh Pulau Pinang dari Sungai Muda setiap hari.


“Ia adalah kawasan tadahan air yang paling penting di utara dan sekiranya isu pembalakan itu tidak diatasi segera, seramai 4.09 juta penduduk akan mengalami kekurangan air serta beribu-ribu perniagaan akan mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2018, di sini hari ini.


Beliau berkata Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) komited terhadap kempen ‘Selamatkan Ulu Muda’ bukan hanya untuk kepentingan serta faedah untuk negeri itu sahaja, malah untuk Kedah dan Perlis.


Sementara itu, Chow berkata penyelesaian terbaik bagi isu pembalakan Ulu Muda ialah dengan pemberian pampasan kepada Kedah dan kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Kedah bagi memohon pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ganti ‘premium hutan’ untuk pembalakan.


Beliau berkata selain itu, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk mewarta, mengurus serta melindungi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air serantau.


“Kini kerajaan Kedah dan Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan, jadi ia adalah masa yang baik untuk melihat semula isu pembalakan di Ulu Muda sebagai isu yang menjejaskan bekalan air Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Saya akan menghantar segera surat kepada Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dalam ucapannya pada majlis itu  berkata kegiatan pembalakan di Ulu Muda itu turut menjejaskan kuantiti dan kualiti air yang disimpan di Empangan Muda.


“PBAPP tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi jika kami tidak dapat mengekstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda dan air mentah yang kita abstrak dari Sungai Muda itu berasal dari Ulu Muda.


“Jika kita tidak buat apa-apa berhubung isu pembalakan itu, ia akan memberi impak yang besar dan jangka panjang terhadap krisis air serta sosio ekonomi,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]