Pulih hubungan golongan muda untuk bina semula Umno

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kekalahan BN dalam PRU14 lalu yang dikatakan berpunca daripada pusingan undi golongan muda menjadi peringatan jelas kepada Umno untuk balik ke landasan sebetulnya sekali gus kembali kepada rakyat.


Menerusi perkara itu, Umno yang mahu bangkit amat memerlukan sokongan komponen lebih matang terdiri daripada Pemuda Umno yang efisien serta mempunyai keyakinan tinggi untuk berjuang di bawah bendera parti keramat tersebut.


Perkara itu disuarakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Iskandar Puteri, Khairul Nizam Md Sor, 40, yang melihat situasi parti politik terbabit hanya akan berada di tampuk yang sama sekiranya ‘orang muda’ tidak dijaga.


“Kita kurang ‘sentuhan’ ke akar umbi, golongan muda yang berjuang bersama kita di peringkat cawangan kita tidak bersama mereka untuk tempoh masa yang lama sehingga tiada penambahbaikan yang telah dibuat.


“Jika mahu bangkit dan berubah, kita perlu kembali dan turun semula bersama mereka kerana itulah teras kita. Keyakinan orang muda itu masih kuat bersama Umno tetapi ia semakin dihakis, kita sayangkan parti dan tidak salah sekiranya kita bermula semula daripada asasnya,” katanya.


Khairul Nizam yang bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Iskandar Puteri turut merasakan amalan mengikut kepala dalam setiap pemilihan parti perlu dibuang kerana perkara itu hanya akan melahirkan barisan jawatankuasa tidak mempunyai matlamat jelas.


“Saya melihat anak-anak muda di Gelang Patah ini tidak mendapat perhatian yang secukupnya. Di bawah Umno bahagian kita lihat hubungan bersama pemuda di setiap cawangan itu longgar.


“Malah kita di peringkat jawatankuasa itu juga tidak dapat pergi ke setiap cawangan sebab kekangan pimpinan jawatankuasa sendiri yang gagal memberikan komitmen, ada yang hilang macam itu sahaja lepas dapat jawatan, ini sebab permulaannya mereka bertanding dengan tiada visi.


“Mereka tiada matlamat untuk majukan pemuda itu sendiri, mereka ini banyak kepada ikut-ikut, ikut papan, bos menang, anak buah menang, semua menang. Tapi tidak tahu apa yang mereka nak buat. Ia menyebabkan haluan serta sokongan kepada bahagian itu semakin renggang,” katanya.


Untuk rekod, Khairul Nizam berdepan lawan yang juga AJK Pemuda Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Akhmal Melan, 35.


Dua calon terbabit bersaing bagi menggantikan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Iskandar Puteri, Abdul Hamid Soaip yang kini bertanding untuk jawatan Ketua Umno Bahagian menentang penyandangnya, Mohammad Khairi A Malik.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]